Sukan Borneo 2025: Hajiji Ucap Tahniah, Teruskan Berjuang

Sukan Borneo 2025: Hajiji Ucap Tahniah, Teruskan Berjuang

0
SHARE

KOTA KINABALU, 27 September – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kontinjen Sabah yang kini berada di kedudukan kedua keseluruhan Sukan Borneo 2025 di Kuching, Sarawak dengan kutipan 20 pingat emas, 18 perak dan 25 gangsa setakat hari ini.

Beliau berkata, anak-anak Sabah telah membuktikan semangat juang dan bakat luar biasa mereka di pentas serantau.

“Tahniah dan syabas kepada kontinjen Sabah. Teruskan berjuang, kami semua di Sabah berdiri teguh memberikan sokongan dan doa untuk anda.

“Good luck dan teruskan usaha! Sabah Onsoi!” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Setakat ini, kontinjen Sabah menunjukkan prestasi membanggakan dengan kejayaan dalam beberapa acara termasuk sukan tarik tali, olahraga, dan beberapa acara lain.

Sukan Borneo Kuching 2025 yang bermula Rabu lalu hingga Ahad ini dilihat sebagai platform penting untuk menyatukan rakyat serta memupuk perpaduan antara wilayah, negara serta provinsi yang berada di pulau Borneo.