GAGASAN RAKYAT PERKUKUH CITRA PERJUANGAN GRS: KM HAJIJI

GAGASAN RAKYAT PERKUKUH CITRA PERJUANGAN GRS: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama kepimpinan dan penyokong parti pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula tempatan.

Katanya, Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan
membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan ‘Sabah First’, ‘Sabah Forward’, ‘Sabah Prosper’ dan ‘Sabah United’.

Beliau yakin, solidariti akan menjadikan suara Sabah lebih kuat dan berkesan.

“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melakukan gimik pelancaran logo baharu parti pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

Dalam pada itu, menurutnya berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.

“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal.

“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi.

“Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen penting agenda nasional.

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan
Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih
holistik merangkumi segenap aspek,” katanya.

Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multi-
parti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif.

Menurutnya, jika ditinjau sejarah, tiga kerajaan pertama Sabah sebenarnya adalah parti tempatan, tetapi bersifat ‘parti tunggal’.

“Kita belajar dan mengambil teladan dari pengalaman panjang yang telah kita lalui
bersama. Kita harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa yang lebih inklusif dan membina.

“Kita harus mengelakkan daripada kuasa terpusat dengan sangat kuat kepada satu kutub tertentu, sama ada condong kepada kumpulan yang diwakili atau terikat kepada kecenderungan sesebuah kepimpinan,” katanya.