Jadikan Kaamatan Sebagai Cuti Umum – Hajiji

Jadikan Kaamatan Sebagai Cuti Umum – Hajiji

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Hajiji Noor yakin bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya kepada cadangan mengisytiharkan Pesta Kaamatan sebagai cuti umum.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata ia sudah lama dicita-citakan oleh rakyat Sabah untuk sambutan tahunan itu diiktiraf di seluruh Negara.

“Pesta Kaamatan bukan sahaja diraikan di Sabah tetapi juga diperingkat Persekutuan. Diharapkan, Kerajaan Persekutuan akan mengisytiharkan satu cuti umum sempena dengan Kaamatan.

“Dan saya melihat Kerajaan Persekutuan akan mendengar hasrat rakyat,” katanya ketika melancarkan sambutan Pesta Kaamatan Tuaran di Dewan Seri Sulaman di sini, pada Ahad baru-baru ini.

Menurut Hajiji, Pesta Kaamatan membawa impak signifikan, terutamanya kepada perpaduan kerana ia bukan sahaja diraikan oleh Kadazan-dusun tetapi juga bangsa lain.

“Kita mengambil bahagian dalam semua perayaan kebudayaan dan kita harus mengekalkan semangat kebersamaan ini.”

Apa yang lebih penting, katanya, adalah perayaan itu merapatkan ikatan dalam kalangan pelbagai bangsa di negeri Sabah ini.

“Sehubungan dengan itu, saya menggesa rakyat tidak mengira agama dan bangsa untuk menjadikan perpaduan sebagai keutamaan.

“Jangan biarkan perbezaan dalam pandangan atau idealogi membawa kepada perpecahan dan sebab itulah kita mesti meletakkan perpaduan sebagai agenda utama kita.

“Rakyat memerlukan kestabilan politik untuk menjana kemajuan yang kukuh, yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sambutan Kaamatan peringkat daerah itu turut digandingkan dengan Festival Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

Antara aktiviti yang diadakan semasa sambutan itu ialah pameran, sukan tradisional, Sugandoi Kaamatan dan Unduk Ngadau Kaamatan.

Semasa sambutan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran menyampaikan anugerah Tokoh Padi kepada peladang padi yang cemerlang.

Penerimanya ialah Anthony Chong, Taisin Maradan, Misa Sallah, Juman Lajim, Kumbas Yaka dan Suon Lambagat.

Turut hadir ialah Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, pemimpin pembangunan masyarakat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim dan Pegawai Daerah AM, Ibnu AK Baba.

– H.Ekspres