Jika Kerajaan Beri 40 Peratus Hak Sabah, Isu Kemudahan Asas Sudah Lama...

Jika Kerajaan Beri 40 Peratus Hak Sabah, Isu Kemudahan Asas Sudah Lama Selesai – Madius

0
SHARE
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ( Sumber Foto: Pejabat Ahli Parlimen Tuaran )

KUALA LUMPUR – Kerajaan terus diingatkan untuk menunaikan segala tuntutan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk pemberian hak 40 peratus Lungutan Hasil Persekutuan kepada Sabah.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sekiranya perkara itu dilaksanakan sejak pembentukan Malaysia, tidak wujud pelbagai isu kemudahan asas termasuk masalah bekalan air yang disifatkannya sudah menjadi tahap satu sumpahan kepada rakyat Sabah.

“Memetik kata-kata Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga bekas menteri bertanggungjawab kepada hal ehwal air di Sabah, masalah utama yang dihadapi wilayah ini ialah peruntukan yang tidak mencukupi, iaitu sebanyak RM23 – RM27 bilion diperlukan untuk tujuan penyelesaian tuntas.

“Dari mana? Dan bilakah Sabah akan dapat peruntukan sebanyak itu? Antaranya kerajaan Sabah terpaksa meminjam daripada Kerajaan Persekutuan kemudian membayar semula hutang pinjaman.

“Saya ingin bertanya, siapa yang sebenarnya yang sudah berhutang selama 60 tahun? Adakah Sabah atau Malaysia yang berhutang kepada Sabah?” katanya.

Madius berkata demikian ketika sesi Ucapan Dasar Bajet 2023 dalam Sidang Parlimen Dewan Rakyat di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan hanya perlu melaksanakan hak-hak Sabah terutama sekali Perkara 112C (1) (a) Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Tuaran bersama-sama dengan rakan-rakan Ahli Parlimen lain sudah menyuarakan perkara ini berkali-kali di Dewan yang Mulia ini termasuk dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah DiRaja baru-baru ini.

“Malang sekali tidak ada ulasan langsung daripada mana-mana Menteri termasuk Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Saya mohon maaf terpaksa berterus terang meluahkan kekecewaan rakyat Sabah, kerana yang disebut hanyalah pemberian khas yang dikatakan sebagai interim. Hak Sabah telah dinafikan selama 60 tahun sejak terbentuknya Malaysia.

“Sekiranya pemberian 40 peratus dilaksanakan dari dahulu, saya percaya Sabah mempunyai peruntukan mencukupi bukan sahaja dalam menyediakan bekalan air bersih malah dalam menyediakan pelbagai kemudahan asas lain seperti jalan raya dan bekalan elektrik,” katanya.