
PENAMPANG, SABAH – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta bagi kerja-kerja melebar dan mendalamkan sungai sepanjang 1 kilometer di kawasan Penampang dan Putatan dalam menangani masalah banjir.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata pendekatan itu hanyalah solusi sementara bagi masalah cuaca luar biasa yang sedang dirasai semua penghuni bumi.
Katanya apa yang sedang kita alami berpunca daripada perubahan iklim.
“Kita (manusia) tidak berbaik hati kepada alam sekitar dan akibat itu kepulan ais di kutub Utara dan Selatan semakin cair. Biarpun air sungai mengalir ke laut, takungan air di laut melimpah kembali ke darat…
“Kita perlu memastikan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa tidak berulang tetapi semua ini memerlukan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau ditemui semasa melawat kawasan banjir di Kampung Sugud sini pagi tadi yang menjejaskan kehidupan lebih 3,000 penduduk.



Dr. Jeffrey berkata sebuah syarikat kontraktor telah pun dianugerahkan bagi melaksanakan projek itu dan ianya dipercepatkan untuk bermula pada tahun ini disebabkan kesan bencana yang semakin teruk.
“Kita sudah berada dalam Fasa 3 projek penebatan banjir…Penduduk yang tinggal berhampiran akan terpaksa dipindahkan serta diberikan sagu hati,” katanya lagi.
Terdahulu beliau berkata Kerajaan Negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM 120 juta lagi daripada Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu tersebut.