SEBERANG PERAI – Empat pekerja kedai perabot warga Pakistan dikejarkan ke hospital akibat cedera parah di bahagian badan selepas disamun sekumpulan tiga suspek bersenjatakan pedang samurai di Taman Seri Acheh, Nibong Tebal pagi tadi.
Memetik laporan portal berita Kosmo Online, dipetik sebagai berkata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafiee Abd. Samad bahawa, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 9.40 pagi di Kedai Perabot Zaid ketika salah seorang mangsa mahu membuka kedai terbabit sebelum didatangi dua suspek lelaki Melayu dan seorang Cina bertopeng.
“Suspek telah mencederakan mangsa dan mengambil wang tunai berjumlah RM500 serta tiga telefon bimbit daripada mangsa sebelum beredar menggunakan kereta Proton Wira Aeroback dengan nombor pendaftaran yang sengaja dipatahkan.
“Siasatan awal mandapati jumlah kerugian bagi kes ini adalah RM2,500 dan kesemua mangsa warga Pakistan itu telah dikejarkan ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan dengan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.