Bagasi ‘Bergerak Sendiri’ Bongkar Sindiket Kes Kecurian Bagasi Di Perancis

Bagasi ‘Bergerak Sendiri’ Bongkar Sindiket Kes Kecurian Bagasi Di Perancis

0
SHARE

PARIS, PERANCIS – Bagasi yang ‘bergerak sendiri’ ketika hendak dimasukkan ke dalam bas membolehkan polis di Paris, Perancis, menyelesaikan kes kecurian barangan dalam bagasi.

AFP melaporkan bahawa pada minggu lalu, seorang pemandu bas ternampak sebuah beg yang dimasukkan ke dalam bas untuk perjalanan dari Paris ke lapangan terbang untuk penerbangan tambang murah di Beauvais, bergerak sendiri lalu melaporkannya kepada polis.

Polis kemudian menunggu bas itu tiba di Beauvais dan menahan seorang lelaki Romania yang mengambil beg pakaian berkenaan serta satu beg kecil.

Polis kemudian menemui seorang lelaki berbadan kecil dalam beg pakaian berkenaan yang ketika berada dalam ruang bagasi bas, keluar dari beg dan menyelongkar bagasi penumpang.

“Kami menemui dua komputer riba, wang serta pelbagai barang berharga lain daripada mereka,” kata jurucakap polis.

Kedua-dua lelaki berusia 40-an itu, berasal dari Romania dan mempunyai rekod jenayah mencuri.

Semalam, lelaki di dalam beg dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan manakala rakannya, dipenjara setahun kerana rekod jenayahnya lebih serius.