ICA Singapura Tahan Warga Malaysia Cuba Seludup 2,000 Karton Rokok Di Dalam...

ICA Singapura Tahan Warga Malaysia Cuba Seludup 2,000 Karton Rokok Di Dalam Treler

0
SHARE
Sumber Foto; Ihsan ICA Singapura via Harian Metro

SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia ditangkap di Pusat Pemeriksaan Tuas kerana cuba menyeludup masuk lebih 2,000 karton rokok haram di dalam trelernya pada lewat Jumaat lalu.

Memetik kenyataan Harian Metro, suspek berusia 39 tahun yang memandu seorang diri itu menimbulkan syak pegawai Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) dan diarahkan berhenti untuk membolehkan kenderaannya diperiksa pada jam 9.45 malam, 13 Oktober lalu.

Anggota yang membuat pemeriksaan melihat kejanggalan dalam imbasan imej tangki minyak kosong yang ditarik kepala lorinya dan hasil pemeriksaan menemui 2,190 karton serta 202 paket rokok haram disorokkan dalam ruang yang diubah suai pada bahagian bawah tangki berkenaan, keseluruhannya dengan nilai cukai masing-masing sebanyak S$171,500 (RM535,000) serta S$12,710 (RM40,000).

Lelaki itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Singapura untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, ICA dalam satu kenyataan semalam berkata, ia akan terus melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap penumpang dan kenderaan di pusat pemeriksaan untuk menghalang usaha menyeludup.

“Kaedah menyembunyikan barangan terlarang digunakan penyeludup juga mungkin boleh dilakukan oleh kumpulan pengganas untuk menyeludup masuk bahan letupan serta senjata untuk melancarkan serangan di Singapura,” katanya.