Hajiji Mendahului Penerima Pertama Suntikan Vaksin COVID-19 Di Sabah

Hajiji Mendahului Penerima Pertama Suntikan Vaksin COVID-19 Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendahului penerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech sempena Majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Sabah di sini, hari ini (Khamis).

Hajiji tiba di Dewan Serbaguna Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri kira-kira jam 10 pagi sebelum mendaftar diri dan ditemu bual petugas kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatannya.

Dua lagi penerima vaksin yang turut bersama beliau ialah Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Penerima vaksin seterusnya ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Panglima Divisyen ke-5 Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid serta beberapa anggota barisan hadapan yang lain.

Seramai 60 penerima vaksin turut diberikan suntikan mereka sebagai simbolik pelancaran program tersebut.

Pada 25 Feb lalu, Sabah menerima 16,380 dos kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech bagi program imunisasi rakyat itu yang mendahulukan petugas barisan hadapan.

Masidi yang juga Jurucakap Kerajaan Negeri berkaitan hal COVID-19 sebelum ini berkata, LIMA (5) lagi kumpulan vaksin akan dihantar ke Sabah hingga 1 April ini.