Kaamatan 2026 Tampil Pembaharuan, Hanya Minuman Tradisi Dihidang di Rumah Tradisi –...

Kaamatan 2026 Tampil Pembaharuan, Hanya Minuman Tradisi Dihidang di Rumah Tradisi – Joachim

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 memperkenalkan pembaharuan signifikan apabila hanya minuman tradisional dibenarkan dihidangkan di semua rumah tradisi sepanjang kemuncak sambutan, sebagai usaha mengekalkan keaslian budaya serta mewujudkan suasana lebih terkawal dan mesra pengunjung.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, pendekatan itu merupakan antara inisiatif baharu dalam memperkemas penganjuran Kaamatan tahun ini tanpa menjejaskan identiti warisan masyarakat.

“Pada tahun ini, hanya minuman tradisional akan disediakan di rumah-rumah tradisi dan tiada minuman beralkohol dibenarkan dijual atau dihidangkan di lokasi tersebut, khususnya semasa rumah terbuka pada 30 dan 31 Mei,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Kaamatan 2026 di Dewan Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA), di sini pada Selasa.

Menurut beliau, rumah terbuka di semua rumah tradisi akan berlangsung dari jam 11 pagi hingga 2 petang pada kedua-dua hari berkenaan dengan pelbagai persembahan dan pameran budaya dijalankan mengikut jadual ditetapkan.

Selain itu, beberapa pembaharuan lain turut diperkenalkan termasuk pembukaan kaunter informasi Kaamatan dari 15 hingga 31 Mei, penyediaan perkhidmatan bas shuttle bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta pemasangan skrin LED tambahan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung mengikuti acara utama di Dewan Hongkod.

Joachim berkata, pelancaran rasmi Kaamatan 2026 akan diadakan pada 1 Mei di Papar, manakala kemuncak sambutan berlangsung pada 30 dan 31 Mei di KDCA, Penampang, dengan jangkaan kehadiran Perdana Menteri pada 30 Mei dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 31 Mei.

Dalam pada itu, permohonan turut dikemukakan kepada Malaysian Book of Records bagi mendapatkan pengiktirafan Pesta Kaamatan sebagai perayaan pesta menuai terpanjang di Malaysia.

Sementara itu, pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2026 akan menampilkan format baharu dengan kesemua 52 finalis bertanding di pentas akhir, dengan 25 peserta dipilih ke pusingan kedua sebelum tujuh terbaik mara ke peringkat akhir.

Kaamatan 2026 dijangka berlangsung lebih meriah dengan pelbagai pengisian budaya di peringkat negeri, daerah serta komuniti Kadazandusun di dalam dan luar Sabah.