Suntikan Vaksin COVID-19 Kurangkan Risiko Kematian Sebanyak 88%

Suntikan Vaksin COVID-19 Kurangkan Risiko Kematian Sebanyak 88%

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Risiko kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian bagi pesakit COVID-19 yang sudah divaksin sepenuhnya, masing-masing berkurangan 83 peratus (83%) dan 88 peratus (88%, demikian menurut satu kajian yang dibuat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kajian yang dibuat melalui The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccination Under PICK atau RECoVaM itu menyatakan, vaksin diberikan menerusi program itu berkesan mencegah dan mengurangkan penyakit teruk serta kematian membabitkan pesakit COVID-10.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Kalaiarasu M Peariasamy, berkata vaksin COVID-19 juga berkesan mengurangkan bebanan dalam sistem kesihatan negara.

Katanya, vaksin lengkap dapat mengurangkan satu kemasukan ke ICU bagi setiap 67 orang dijangkiti, manakala satu kematian dikurangkan bagi setiap 97 orang dijangkiti.

“Data kajian dalam populasi 1,261,270 orang mendapati mereka yang divaksin separa lengkap mengurangkan risiko jangkitan hingga 49 peratus ke 53 peratus, manakala mereka yang divaksin lengkap, risiko pengurangan sehingga 86 ke 90 peratus…

“Bagi jangkitan bergelaja pula, mereka yang divaksin separa lengkap mengurangkan risiko hingga 33 ke 37 peratus, manakala yang divaksin lengkap adalah 84 ke 88 peratus,” katanya dalam sesi penerangan keberkesanan vaksin dan vaksinasi remaja KKM, hari ini.

Sesi diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim turut disertai Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, Dr Saidatul Norbaya Buang; Ketua Sektor (PPKA), Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Mohd Hanif Zailani; Perunding Pediatrik Hospital Tunku Azizah, Dr Sabeera Begum Kader Ibrahim dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi Pediatrik Pusat Jantung Pediatrik dan Kongenital (PCHC), Institut Jantung Negara (IJN), Dr Geetha Kandavello.

Dr Kalaiarasu yang dipetik BH Online turut berkata bahawa daripada 14,500,984 mereka yang lengkap dos vaksin COVID-19, hanya 953 orang (0.0066 peratus) dimasukkan ke ICU dan 1,445 kematian (0.010 peratus).

“Bagi vaksin AstraZeneca, daripada 744,959 mereka yang lengkap dos vaksin, kemasukan ICU seramai tujuh orang (0.001 peratus) dan 14 kematian (0.002 peratus). Vaksin Pfizer pula, daripada 6,530,943 lengkap dos vaksin, kemasukan ICU seramai 147 orang (0.002 peratus) dan 323 kematian (0.005 peratus)…

“Vaksin Sinovac pula, daripada 7,223,897 yang lengkap dos vaksin, kemasukan ICU seramai 799 orang (0.011 peratus) dan kematian 1,108 (0.015 peratus),” katanya.

Beliau berkata, kajian RECoVaM mendapati tiga vaksin dalam PICK juga mempamerkan keberkesanan tinggi mengurangkan kemasukan ICU iaitu bagi vaskin AstraZeneca, pengurangan adalah 60 ke 68 peratus (separa vaksin) dan 91 peratus ke 99 peratus (vaksin lengkap).

“Bagi Pfizer pula 38 ke 45 peratus (separa vaksin) dan 91 ke 94 peratus (vaksin lengkap), manakala Sinovac, 24 ke 31 peratus (separa vaksin) dan 75 ke 79 peratus (vaksin lengkap)…

“Risiko kematian bagi AstraZeneca mengurangkan 68 ke 74 peratus (separa vaksin), 92 ke 98 peratus (vaksin lengkap); Pfizer, 45 ke 51 peratus (separa vaksin) dan 92 ke 94 peratus (vaksin lengkap) dan Sinovac, 37 ke 42 peratus (separa vaksin), 83 ke 85 peratus (vaksin lengkap),” katanya.

Dr Kalaiarasu berkata, trend pesakit COVID-19 mulai menurun sejak penghujung Ogos lalu apabila seramai 46 peratus populasi lengkap divaksin.

“Trend kematian dilihat menurun sejak pertengahan bulan ini apabila 55 peratus populasi lengkap divaksin dan ini petanda yang baik untuk tahap kesihatan negara,” katanya.

Katanya, 84 peratus mereka yang mati dilaporkan berusia 60 tahun atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi (73.2 peratus), diabetes mellitus (55 peratus), kolestrol tinggi (46.9 peratus), penyakit jantung (15.8 peratus) kegagalan buah pinggang (15.8 peratus) serta obesiti (10.5 peratus).