KKM Diingatkan Untuk Patuhi Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 Di Sabah – SAPP

KKM Diingatkan Untuk Patuhi Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 Di Sabah – SAPP

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Progesif Sabah (SAPP) kecewa apabila hanya 53,000 sahaja dos tunggal CanSino diterima oleh pihak Sabah kelmarin daripada jumlah 200,000 dos yang tiba di KLIA Jumaat lepas.

Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP dalam kenyataannya berkata, jumlah vaksin tersebut hanya tiga peratus dari jaminan bekalan 1.8 juta dos CanSino yang diminta Kerajaan Negeri Sabah.

“Ini tidak boleh diterima. Maka saya mengulangi gesaan saya agar bekalan vaksin CanSino dari Beijing dihantar terus ke Sabah tanpa melalui KLIA. Kekhuatiran bahawa vaksin mungkin akan dihantar ke tempat lain adalah berasas,” tegas beliau.

Datuk Yong Teck Lee…

“Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) harus berlaku adil kepada Sabah dan memastikan semua PPV di Sabah beroperasi pada kemampuan maksimum,” tambah beliau.

Jangkitan COVID-19 di Sabah meningkat melebihi 3,000 kes sejak kelmarin dan hari ini yang mana angka terbaru itu mengejutkan kerana mengatasi jumlah jangkitan harian pada minggu sebelumnya.

Sabah mencatatkan 3,224 kes baharu positif COVID-19 hari ini (25 Ogos)…

“Kita bangga Malaysia menjadi negara dengan kadar vaksinasi tertinggi di dunia, tetapi di Sabah, kita terpaksa menelan air liur pahit apabila menjadi negeri tercorot seluruh Malaysia dengan hanya 31.4 peratus penduduk sahaja mendapat 2 dos lengkap,” kata Yong lagi.

Pada masa yang sama, ada pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini dilaporkan terpaksa menangguhkan pemberian vaksin dan menunda tarikh temujanji pada saat akhir kerana kekurangan bekalan.

“Sebagai contoh PPV Dewan Masyarakat Pa’ Musa Beaufort hanya mampu memberikan 100 dos vaksin hari ini,” ujar beliau.

Sabah menaruh harapan tinggi vaksin dos tunggal CanSino dapat mempercepatkan program Imunisasi Covid19 Kebangsaan (PICK) terutama kepada penduduk di luar bandar yang mengalami masalah kesukaran mengakses PPV terdekat dan dos tunggal CanSino menjadi jawapan bagi mengurangkan beban perjalanan 2 kali bagi melengkapkan dos.

Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah mengambil pelbagai pendekatan bagi mempercepatkan kadar vaksinasi namun kata Yong, usaha itu akan terbantut sekiranya KKM gagal menepati masa janji jaminan bekalan vaksin ke Sabah.

“Setiap penangguhan bekalan adalah kritikal dan boleh mendedahkan jangkitan kepada orang awam serta melambatkan proses pemulihan ekonomi di Sabah,” kata Yong lagi.