KOTA KINABALU: Sabah kini berada di landasan kukuh menuju negeri berdaya saing hasil pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pendidikan dan ekonomi rakyat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cyberjaya College Kota Kinabalu, Dr. Awang Faisal Assyiffa.
Beliau berkata, pelaburan besar kerajaan negeri dalam bidang pendidikan membuktikan komitmen terhadap pembangunan modal insan.
“Sejak 2021 hingga 2025, lebih RM1.3 bilion telah diperuntukkan untuk sektor pendidikan, jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, peningkatan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada RM136 juta bagi tahun 2025 membuka lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran, manakala program seperti BUDI, BAIK, BISTARI, BAGUS, dan SUBFLY meringankan beban keluarga B40 dan luar bandar.
Dr. Awang Faisal turut memuji langkah kerajaan menubuhkan Sabah Technical and Vocational Education and Training Council (STVET) yang memperkukuh latihan kemahiran teknikal selaras keperluan industri. Katanya,
“TVET bukan sekadar latihan, tetapi strategi jangka panjang membentuk tenaga kerja mahir dan berdaya tahan untuk ekonomi moden Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan ialah pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Program seperti GRS-SUBFLY, katanya, bukan sahaja membantu pelajar pulang ke kampung halaman, tetapi juga merangsang sektor pengangkutan, logistik, dan perkhidmatan domestik.
Sebagai institusi pengajian tinggi, katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri, universiti dan industri tempatan perlu diperkukuh melalui penyelidikan, inovasi serta pendidikan berasaskan industri agar graduan lebih relevan kepada pasaran kerja.
“Kerajaan Negeri Sabah telah meletakkan asas kukuh melalui dasar inklusif dan pelaburan terhadap modal insan. Kini tanggungjawab kita bersama memastikan sinergi ini terus diperkasa demi masa depan Sabah yang makmur dan berilmu,” katanya.






