
TUARAN, SABAH – Selepas Penampang dan Putatan, semalam Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyantuni mangsa banjir di Tuaran dan Tamparuli.
Selain memberikan kata semangat, beliau yang juga Penasihat Yayasan Nur Jauhar (YNJ) turut menyampaikan sumbangan masing-masing 10 dan tujuh Ketua Isi Rumah (KIR) di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tutu Kampung Selupoh Tuaran dan Dewan Balai Raya Kampung Bontoi Tamparuli.
Kedua-dua PPS yang dibuka sejak Isnin lalu sehingga semalam, menempatkan 51 mangsa yang terkesan akibat hujan berterusan dan banjir dari sekitar daerah berkenaan.
Turut hadir, Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Herman Tunggiging dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Madin Anak. — JABATAN PENERANGAN SABAH





