BINTULU – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah di Kampung Jabai dalam tempoh kurang 24 jam dengan tertangkapnya empat suspek lelaki tempatan dalam lingkungan umur 28 hingga 30 tahun pada 24 Oktober lalu.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Zulkipli Suhaili yang menyifatkan kesemua suspek ditahan pada hari sama sekitar jam 9 malam di kawasan Kidurong dan Jalan Assyakirin.
“Turut disita ialah sebuah kereta dan motosikal yang dipercayai digunakan oleh suspek menjalankan kegiatan jenayah mereka itu,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, di sini, tengah hari kelmarin.
Jelasnya, turut dirampas bersama suspek ialah satu unit komputer riba yang dilaporkan hilang oleh pengadu pada hari sama berserta peralatan lain berupa enam unit playar, satu unit spanar pembuka plak motosikal, gunting dan pemutar skru dipercayai digunakan suspek melakukan jenayah curi.
Katanya, dalam kes berasingan iaitu pada 25 Oktober, JSJ berjaya menyelesaikan satu lagi jenayah curi dengan tertangkapnya dua lagi lelaki tempatan berumur 17 hingga 27 tahun di kawasan Jalan Abang Galau yang mana turut merampas satu unit mini iPad, dua keping resit pajak gadai barang kemas, dua unit telefon bimbit dan beg tangan mengandungi pelbagai dokumen.
“Penangkapan kedua-dua suspek turut menjurus kepada penangkapan seorang lagi lelaki tempatan yang merupakan pemilik kedai pajak gadai kerana membeli sebentuk cincin mas curi,” tambahnya.
Dengan tertangkapnya kesemua suspek telah menyelesaikan sebanyak lapan kes pecah rumah sekitar Bintulu yang dilaporkan berlaku pada Oktober.
Jelasnya, tahanan reman telah dikenakan ke atas empat suspek bagi kes pertama hingga hari ini dan akan dilanjutkan hingga siasatan selesai manakala bagi kes yang kedua pula suspek telah dikenakan tahanan reman dari tarikh ditangkap hingga 31 Oktober ini nanti.
Kes ini jelasnya disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.