Beberapa Bandar Utama AS Dilanda Suhu Tinggi Mencecah 49 Darjah Celsius

Beberapa Bandar Utama AS Dilanda Suhu Tinggi Mencecah 49 Darjah Celsius

0
SHARE

LOS ANGELES – Suhu tinggi yang panas mula dicatatkan di beberapa bandar utama Amerika Syarikat yang melibatkan lebih 30 juta penduduk.

Memetik laporan AFP, antara bandar utama yang terlibat termasuklah Phoenix dan San Jose, serta bandar teknologi Silicon Valley di San Francisco.

Amaran cuaca panas mula dikeluarkan oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) selepas Las Vegas mencatatkan suhu mencecah 47.2 darjah Celsius baru-baru ini.

Sementara itu, NY Times melaporkan, pakar meteorologi yang berkhidmat dengan NWS, Sarah Rogowski berkata, sebahagian besar kawasan barat AS berdepan peningkatan suhu mencecah 54.4 darjah Celsius dalam beberapa hari lagi.

Suhu melampau yang melanda barat laut Pasifik (AS) pada penghujung Jun lalu mengakibatkan kematian hampir 200 penduduk di Oregon dan Washington.

Orang ramai dinasihatkan terus berada di rumah dengan bergantung kepada penyaman udara dan sentiasa berlindung di kawasan teduh.

Kesan ‘kubah panas’ atau ‘heat dome’ turut melanda kawasan barat laut dengan tanah yang panas dan kering memerangkap haba serta mempercepat peningkatan suhu.

Fenomena sama dikesan sudah menular ke California dan beberapa bahagian di barat daya hujung minggu lalu.

Katanya, sebahagian tempat di California kini berdepan suhu panas pada siang hari sekitar 38 hingga 49 darjah Celsius.

“Lebih membahayakan, suhu berkenaan kekal tinggi pada waktu malam dan menurut penyelidik, suhu gelombang haba pembunuh di Barat Laut Pasifik pada minggu lalu mungkin mustahil berlaku tanpa perubahan iklim…

“Ini kerana perubahan iklim secara asasnya meningkatkan purata sekitar satu darjah Celsius sejak 1900,” katanya.

Menurut saintis, gelombang haba dijangka memuncak lebih tinggi berbanding beberapa abad sebelum ini.

Gelombang panas melampau melanda hampir keseluruhan California, termasuk sebahagian Nevada, Arizona, Utah, Oregon dan Idaho.

Ketika ini, California berdepan cuaca panas terburuk dan Khamis lalu, agensi yang menguruskan grid elektrik negeri itu memohon supaya pelanggan mengurangkan penggunaan tenaga untuk mengelakkan terputus bekalan.

Gabenornya, Gavin Newsom, turut memohon penduduk mengurangkan penggunaan air ketika pihak berkuasa memperluaskan darurat kemarau di wilayah berkenaan.