KAWAL NAFSU PENGAMBILAN KUANTITI MAKANAN KETIKA HARI RAYA

KAWAL NAFSU PENGAMBILAN KUANTITI MAKANAN KETIKA HARI RAYA

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah memasuki hari keempat (4 Syawal) hari ini menunjukkan keterujaan rakyat Malaysia selepas dua tahun tidak meraikan sambutan ini secara terbuka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara pandemik COVID-19 yang melanda negara pada penghujung tahun 2019.

Aktiviti kunjung-mengunjung saudara-mara dan rakan-rakan diiringi dengan hidangan pelbagai masakan serta juadah istimewa bagi santapan para pengunjung di hari raya masih rancak sehingga kini.

Namun, sentiasalah beringat dengan kuantiti pengambilan makanan meskipun agak sukar mengawal nafsu makan setelah dua tahun tidak dapat merasai suasana sambutan hari raya yang berlangsung ketika ini.

Perkara yang perlu diberi perhatian tidak kira semasa menghadiri rumah terbuka atau pada hari-hari biasa adalah keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

Setiap sajian yang diambil haruslah pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelak timbulnya masalah lain.

Bukanlah berniat menghalang pesakit mahupun golongan yang sihat untuk menikmati pelbagai juadah yang dihidangkan sempena Aidilfitri tetapi anda perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan tersebut.

Jika makan berlebihan di hari raya, ia boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan risiko mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Kenaikan berat badan secara mendadak dan sukar pula untuk kembali kepada berat asal akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.