KUCHING – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan Bajet 2018 prihatin dengan kehendak rakyat Sarawak.
Beliau berkata bajet itu juga akan meyakinkan rakyat Sarawak dengan dasar kerajaan berhubung kebajikan mereka.
“Saya menyambut baik bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Kita mendapati banyak juga peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada Sarawak termasuk rakan kita di Sabah.
“Antara pengumuman tersebut infrastruktur diberi penekanan yang banyak dari sudut bekalan air, elektrik dan juga jalan kampung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kebajikan Sarawak 2017 di sini, semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2018 petang tadi mengumumkan lebih RM6.8 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan kepada Sarawak dan Sabah.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pengumuman Bajet 2018 turut menyaksikan Sarawak menerima peruntukan besar berjumlah RM1 bilion untuk membangunkan sekolah daif di negeri itu.
“Ini bererti bahawa peruntukan ini selain (tambahan) daripada peruntukan biasa (yang diterima) dan perkara ketiga menarik perhatian dari sudut peruntukan sosial juga nampaknya ditambah untuk Sarawak.
“Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dengan kehendak rakyat di Sarawak untuk menaikkan taraf infrastruktur dan juga sektor sosial yang sangat-sangat diperlukan di Sarawak.
“Saya yakin rakyat sudah tentu yakin dengan apa sahaja dasar yang telah dilaksanakan kerajaan kepada rakyat Sarawak,” katanya.