Menyorok Di Bawah Bas Selama 3 Jam Demi Berjumpa Ibu Bapa

Menyorok Di Bawah Bas Selama 3 Jam Demi Berjumpa Ibu Bapa

0
SHARE
Sumber Foto; Harian Metro

GUANGXI, CHINA – Dua kanak-kanak bergadai nyawa apabila sanggup menyorok di bawah bas selama tiga jam dari rumah mereka di kawasan pedalaman di Nazuo, Wilayah Guangxi semata-mata untuk bertemu ibu bapa yang bekerja jauh di bandar.

Kanak-kanak berusia sekitar lapan tahun itu, ditemui diselaputi lumpur oleh seorang pekerja keselamatan selepas perjalanan sejauh 80 kilometer (km) apabila bas berkenaan berhenti di sebuah stesen di daerah Xilin, lapor media China.

“Mereka sangat kurus sehingga mampu menyelit di bahagian bawah bas itu dan sanggup menggadai nyawa berpaut sepanjang perjalanan semata-mata rindu mahu menemui ibu bapa,” kata seorang pekerja stesen bas.

Sebelum itu, mereka dikatakan melarikan diri dari sekolah sebelum sesi pembelajaran bermula dan mencari ruang di bahagian bawah bas itu sebagai tempat menyorok.

Perjalanan agak jauh yang dilalui kedua kanak-kanak itu menyebabkan anggota badan masing-masing dipenuhi lumpur sebelum dibantu oleh pekerja stesen itu yang mencuci pakaian dan memberi makanan kepada mereka.

Dua sahabat itu ‘menumpang’ bas yang melakukan perjalanan dari Nazuo ke Baise kerana diberitahu saudara-mara bahawa ibu bapa mereka bekerja di sana.

“Ibu bapa mereka sebenarnya bekerja lebih jauh iaitu di wilayah Guangdong, namun saudara-mara memberitahu bekerja di Baise sekadar untuk ‘menyedapkan hati’ mereka,” kata pekerja itu.

Berdasarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di China, dianggarkan terdapat sekitar 23 juta kanak-kanak terpaksa ditinggalkan di kawasan pedalaman negara itu.

Ini disebabkan ibu bapa masing-masing keluar bekerja di bandar besar seperti Guangdong.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis dan NGO yang menegaskan bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa penjaga.