KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), YAS KPj (PA) Mohammad Abiddin Abd Rahman, di Parlimen Malaysia.
Kunjungan tersebut diadakan bersempena Sesi Serahan Watikah Pangkat Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, yang turut menyaksikan penyerahan vest APM sebagai simbolik pelantikan Mustapha ke jawatan berkenaan.
Pelantikan ini mencerminkan kesinambungan komitmen dan sokongan beliau terhadap peranan serta fungsi APM, khususnya dalam aspek keselamatan, kesiapsiagaan bencana dan kebajikan rakyat.

Sebelum ini, Mustapha pernah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM semasa menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi.
Dalam majlis yang sama, Mustapa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas kepercayaan dan perkenan melantik beliau sebagai Pesuruhjaya Kehormat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi berterusan warga APM serta menegaskan kepentingan jalinan kerjasama strategik antara semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya di Sabah dan Sarawak.






