Lonjak Juara Tuaran 2026 Bina Mentaliti Pemenang, Bukan Sekadar Kejar Pingat –...

Lonjak Juara Tuaran 2026 Bina Mentaliti Pemenang, Bukan Sekadar Kejar Pingat – Ghazali

0
SHARE

TUARAN: Program Lonjak Juara Tuaran 2026 bukan sekadar platform menghantar atlet ke gelanggang pertandingan, sebaliknya menjadi medan membentuk generasi bermentaliti juara yang berdisiplin, berintegriti dan berdaya tahan, kata Penasihat Persatuan Permuafakatan Pendidikan Daerah Tuaran, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.

Beliau berkata, semangat juara tidak diukur semata-mata melalui jumlah pingat yang dimenangi, sebaliknya lahir daripada keyakinan, disiplin serta keberanian untuk bangkit setiap kali berdepan kegagalan.

Program Lonjak Juara bukan sekadar slogan, tetapi satu gerakan membina mentaliti juara. Juara sebenar bukan hanya mereka yang memenangi emas, tetapi individu yang memiliki disiplin, integriti, semangat juang dan tidak pernah berhenti berusaha. Kemenangan bermula daripada keyakinan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Lonjak Juara Tuaran 2026: Majlis Amanat, Suntikan Motivasi dan Penyerahan Bendera Kontinjen Sukan Daerah Tuaran di sini, hari ini.

Ghazali yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, aura kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 seharusnya menjadi inspirasi kepada atlet Tuaran untuk memahami bahawa kejayaan tidak hadir melalui nasib, sebaliknya hasil latihan berterusan, disiplin tinggi dan kesanggupan berkorban.

Beliau turut memaklumkan lebih 360 atlet dan pegawai akan membawa cabaran Daerah Tuaran dalam lima jenis sukan utama iaitu olahraga, bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan boling tenpin yang akan berlangsung di beberapa daerah di Sabah bermula pertengahan Julai hingga awal Ogos ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan setiap atlet supaya menyedari tanggungjawab besar yang dipikul apabila mewakili daerah.

“Apabila memakai jersi Daerah Tuaran, atlet bukan lagi membawa nama sendiri, tetapi harapan sekolah, guru, ibu bapa dan maruah seluruh warga Tuaran. Menang itu penting, namun yang lebih utama ialah memperoleh kemenangan dengan disiplin, integriti dan akhlak yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS), guru-guru, jurulatih, pengurus pasukan dan semua pihak yang komited mencungkil bakat atlet muda sehingga mampu mengharumkan nama daerah.

Beliau yakin Tuaran memiliki potensi besar untuk muncul antara daerah terbaik dalam arena sukan negeri sekiranya usaha pembangunan bakat diteruskan secara konsisten serta disokong oleh semua pihak.