Naik Taraf Jalan UMS Kurangkan 35% Kesesakan, Bakal Siap Akhir Tahun Ini...

Naik Taraf Jalan UMS Kurangkan 35% Kesesakan, Bakal Siap Akhir Tahun Ini – Bung

0
SHARE
Dato Sri Bung Moktar Radin...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerja-kerja naik taraf Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Indah Permah di sini yang turut merangkumi pembinaan persimpangan bertingkat, dijangka berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas sebanyak 35 peratus (35%), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata kerja-kerja menaik taraf jalan raya serta pembinaan persimpangan bertingkat bagi menghubungkan beberapa kawasan termasuk Tuaran dan Sepanggar dengan pusat bandar raya itu dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Kesesakan lalu lintas di kawasan ini dilihat membebankan para pengguna. Laluan ini sememangnya menjadi tumpuan ramai pengguna terutama dari Tuaran dan kawasan-kawasan lain…

“Apabila siap sepenuhnya nanti, kesesakan lalu lintas ketika ini akan dapat dikurangkan sebanyak 35 peratus,” katanya kepada Bernama dan RTM pada program Jelajah Ramadan di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Sabah di sini, semalam.

Projek bernilai RM357 juta itu melibatkan naik taraf jalan daripada empat lorong kepada enam lorong termasuk pembinaan empat persimpangan bertingkat bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Bung Moktar berkata komitmen kerajaan negeri menerusi kementeriannya untuk mewujudkan perkhidmatan ‘sky train’ bagi menghubungkan kawasan dalam bandar juga dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping usaha meningkatkan lagi sistem pengangkutan awam bandar.

“Tahun depan kita akan mula (sedia pelan projek). Selain dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, ‘sky train’ ini juga mampu menjimatkan masa penumpang…

“Infrastruktur dan prasarana pengangkutan awam seperti ini akan menjadi tarikan pelancong sekali gus memaju lagi ekonomi Sabah,” katanya.