Proses PdPR Kurang Berkesan Disebabkan Faktor Capaian Internet Dan Pemilikan Gajet

Proses PdPR Kurang Berkesan Disebabkan Faktor Capaian Internet Dan Pemilikan Gajet

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kurang berkesan disebabkan faktor┬ácapaian internet dan pemilikan gajet oleh pelajar ataupun murid sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata ia menyumbang kepada beberapa kesan negatif dan merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, kaji selidik NUTP mendapati 93 peratus (93%) guru memilih kaedah PdP secara bersemuka walaupun mengakui berpuas hati dengan kerjasama diberikan ibu bapa bagi menjayakan PdPR.

“Kemahiran guru mengendalikan PdPR semakin baik dan masing-masing sudah mempunyai pengalaman ketika pelaksanaan PKP, Mac tahun lalu.

“Diakui guru berdepan cabaran dan kesukaran menjalankan PdPR bagi murid Tahun Satu kerana mereka tidak pernah menjalani proses sedemikian sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita tak boleh menolak PdPR kerana ia satu-satunya kaedah yang ada ketika negara berdepan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi┬ápemberita.

Memetik laporan BH Online, Kementerian Pendidikan (KPM) semalam melaporkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara dihadkan kepada calon peperiksaan utama bagi 2020.

Ditanya sama ada murid berdepan masalah keciciran sistem pendidikan apabila hanya bergantung kepada PdPR, Aminuddin berkata, ia mungkin mengakibatkan perkembangan pelajar terencat.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh menjadi pengukur bagi keberkesanan menghasilkan modal insan yang seimbang.

“Dalam hal ini tak boleh hendak dibandingkan dan semua pihak mesti terima keadaan PdPR adalah berasaskan kesediaan murid, selain objektif pengajaran guru terhad dan perlu dipelbagaikan mengikut kreativiti.

“Apabila keadaan kembali baik, mungkin guru boleh lakukan langkah lain untuk baik pulih masalah sepanjang pelaksanaan PdPR,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, mencadangkan kerajaan memberi pengecualian cukai untuk pembelian peranti, selain menumpukan usaha menggembleng pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta swasta bagi penyediaan infrastruktur yang kondusif.

“Kita ada menerima maklum balas dan cadangan radikal supaya PdPR diadakan di luar waktu kerja (bagi memastikan fokus murid ketika belajar), tetapi ia perlu dipersetujui semua pihak,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pula berkata kerajaan perlu memikirkan cara mengatasi kekangan pada sesi PdPR secara sistematik dan tuntas, terutama ketika kes positif harian COVID-19 melepasi 4,000 kes, kelmarin.

Katanya, kenaikan mendadak COVID-19 itu memerlukan pelajar yang tidak mengambil peperiksaan utama untuk membiasakan diri dengan mengikuti PdPR dan PdP dalam talian.

Secara relatif, katanya, pendekatan PdPR yang bermakna dan berkesan adalah masih baharu di negara ini dan memerlukan pengukuhan serta pemerkasaan melalui komitmen jitu daripada kerajaan.