Undang-Undang Kecil Untuk Tingkatkan Hasil PBT Dalam Proses Pewartaan 

Undang-Undang Kecil Untuk Tingkatkan Hasil PBT Dalam Proses Pewartaan 

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Satu undang-undang kecil yang penting untuk meningkatkan hasil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah kini dalam proses pewartaan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, pihaknya akan memaklumkan dan melaksanakan ‘roadshow’ untuk memberi khidmat nasihat kepada semua PBT.

“Ini adalah antara usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah 2023 yang diadakan d Magellan Sutera Harbour, di sini, semalam.

Joachim berkata, PBT disifatkan “a self-sustained organisation”, di mana walaupun ada sedikit suntikan bantuan daripada pihak Kerajaan tetapi mencari hasil bagi kelangsungan PBT adalah suatu yang perlu dititik beratkan.

“Berusahalah untuk mencari sumber pendapatan baharu yang mampu meningkatkan pendapatan PBT. Pejabat kementerian sentiasa terbuka untuk berbincang dan bertukar pendapat.

“Di pihak kementerian, barisan pegawai sentiasa mengalu-alukan untuk sesi perbincangan penambahbaikan di PBT. Hasil-hasil seperti kutipan cukai pintu, sewaan serta lesen perlu terus dikutip dan dipergiatkan kutipan hasil semasa dan juga kutipan tunggakan.

“Kita perlu berfikir di luar kotak (outside of the box) bagi memastikan hasil dikutip dan menjana hasil-hasil baharu,” tegasnya.

Turut hadir, Pembantu Menteri I dan II, Datuk Isnin Aliasnih dan Datuk Mohamad Hamsan Ag. Supain; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap I dan II, Stanley Chong dan Faridah Giau.