KUALA LUMPUR – Kejuaraan Seluruh England (All England) akhirnya milik Malaysia selepas jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, 23, mencipta rekod dalam kariernya apabila memenangi ‘BWF World Tour Super 1000 All England Open’ dengan menundukkan pemain nombor dua dunia daripada Denmark, Viktor Axelsen pada aksi sengit di final, malam tadi.
Aksi final yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu menyaksikan pertarungan dramatik dan sengit antara kedua-dua pemain berkenaan apabila permainan berlanjutan hingga ke set ketiga (penentuan) yang berkesudahan dengan keputusan 30-29, 20-22 dan 21-9.
Zii Jia turut mempamerkan semangat juang yang tinggi serta tampil lebih garang pada set ketiga final itu walaupun beliau mempunyai rekod kekalahan sebanyak tiga kali ke atas pencabarnya Axelsen.
Kemenangan malam tadi turut melunaskan dendam Zii Jia ke atas Axelsen yang menewaskannya ketika aksi separuh akhir pada edisi tahun lalu.
Kejayaan Zii Jia ini juga menamatkan penantian Malaysia selama empat tahun bagi muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dilakukan Datuk Wira Lee Chong Wei pada 2017.
Terdahulu, Zii Jia mencipta kejutan apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada aksi suku akhir pada Jumaat.