James Cadang Sedia Air Minuman Bersih Percuma Kepada 1,300 Sekolah di Sabah

James Cadang Sedia Air Minuman Bersih Percuma Kepada 1,300 Sekolah di Sabah

0
SHARE

BELURAN: Kerajaan Sabah disaran mempertimbangkan penyediaan kemudahan air minuman bersih secara percuma di kira-kira 1,300 sekolah di seluruh negeri, khususnya sekolah luar bandar dan kawasan pulau.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kemudahan itu penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan asas murid terjamin sepanjang berada di sekolah, terutama ketika cuaca panas.

Menurutnya, cadangan itu juga mengambil kira keadaan sebahagian murid yang mempunyai wang belanja terhad sehingga menyukarkan mereka membeli makanan dan minuman ketika berada di sekolah.

“Kadang-kadang ibu bapa hanya memberi RM3 kepada anak. Untuk membeli nasi lemak dan mi goreng di sekolah pun sudah memerlukan perbelanjaan, jadi tidak banyak lagi yang tinggal untuk membeli air minuman.

“Ada juga murid yang membawa air dari rumah, tetapi bekalan itu kadang-kadang tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balaban Jaya, di sini.

James berkata, kemudahan air minuman bersih itu tidak seharusnya terhad kepada sekolah tertentu, sebaliknya wajar diperluaskan ke seluruh Sabah.

“Kalau boleh, kita minta supaya perkara ini dilaksanakan di seluruh Sabah, melibatkan kira-kira 1,300 sekolah.

“Jika boleh, kita letakkan sekurang-kurangnya satu mesin air di setiap sekolah. Paling tidak, anak-anak kita mempunyai akses kepada air minuman dan bekalan air yang bersih, terutama mereka yang berada di kawasan pulau,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Sabah dapat mengambil inisiatif melaksanakan cadangan itu sementara menunggu perkara berkaitan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam perkembangan sama, James turut meninjau perkembangan projek pembangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nangka serta pembinaan SMK Balaban Jaya.

Katanya, projek pembinaan baharu blok bilik darjah modular Blok A dan C di SK Sungai Nangka di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sudah diluluskan dan kini dalam proses pelantikan kontraktor, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pertengahan September ini.

Sementara itu, Projek Pengubahsuaian dan Naik Taraf Blok B yang dikendalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran sedang dilaksanakan dan dijangka siap awal November depan.

Selepas kedua-dua projek itu siap, kemudahan di SK Sungai Nangka akan digunakan bagi menempatkan murid SK Balaban Jaya pada sesi pagi yang ketika ini beroperasi dari SK Pekan Beluran, manakala SMK Balaban Jaya akan menggunakan kemudahan berkenaan pada sesi petang.

Menurut James, pengoperasian dua sesi itu membolehkan kemudahan sekolah dimanfaatkan secara optimum bagi memenuhi keperluan murid sekolah rendah dan menengah.

Beliau pada masa sama meminta KPM mempertimbangkan pembinaan kawasan parkir dan kuarters guru bagi membantu tenaga pengajar yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke sekolah.

Mengenai pembinaan SMK Balaban Jaya, James berkata, projek itu mengalami kelewatan kira-kira 5.6 peratus, antaranya disebabkan isu pembangunan tanah pada peringkat awal pelaksanaan.

Bagaimanapun, kerja pembinaan masih berjalan dan projek berkenaan dijangka siap menjelang akhir 2027.

James turut meminta KPM memastikan pembayaran kepada kontraktor dibuat mengikut jadual dan ketetapan bagi melancarkan kerja pembinaan serta mengelakkan kelewatan bayaran yang boleh menjejaskan kemajuan projek.

Pada masa sama, beliau memuji prestasi kontraktor yang disifatkan menunjukkan prestasi baik dalam melaksanakan kerja pembinaan SMK Balaban Jaya.