PENAMPANG: Seramai 66 golongan asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan warga emas termasuk golongan bukan beragama Islam menerima sumbangan sempena Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 2026 yang diadakan di Kapayan, di sini pada Selasa.
Program anjuran Persatuan Masyarakat Interaktif Suara Sabah dan Persatuan Cahaya Sabah itu turut menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam suasana harmoni sempena bulan Ramadan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah memperkukuh perpaduan masyarakat di negeri ini.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Masyarakat Interaktif Suara Sabah dan Persatuan Cahaya Sabah atas inisiatif menganjurkan Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan 2026 yang telah menyantuni seramai 66 golongan asnaf terdiri daripada ibu tunggal, OKU, anak yatim dan warga tua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 2026 di Kapayan, semalam.
Menurut Nizam, walaupun masyarakat Islam merupakan golongan minoriti di kawasan berkenaan, majlis itu turut dihadiri ramai tetamu bukan beragama Islam yang bersama-sama memeriahkan acara berbuka puasa tersebut.
“Ini membuktikan bahawa masyarakat di Sabah sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata program seperti itu wajar diteruskan pada masa akan datang kerana mampu mengeratkan hubungan dan meningkatkan persefahaman antara masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Nizam berkata kementeriannya akan terus menyokong program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya yang melibatkan golongan belia.
“Saya melihat ramai golongan muda hadir pada program ini dan ini selaras dengan komitmen kementerian untuk membangunkan belia kerana kita yakin jika belia dibimbing ke arah yang betul, mereka mampu mencipta kejayaan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas mengenai kemudahan sukan di Sabah, beliau berkata kementeriannya turut menilai keperluan menaik taraf beberapa kompleks sukan di negeri ini termasuk trek larian di Stadium Penampang yang kini berada dalam keadaan uzur.
“Saya telah meminta pegawai kementerian dan Lembaga Sukan Sabah membuat penilaian serta anggaran kos supaya kita dapat memohon peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan,” katanya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 16 hingga 17 kompleks sukan di Sabah dan kebanyakannya memerlukan kerja naik taraf memandangkan kemudahan tersebut telah lama tidak diperbaharui.






