Jafry Sambut Baik Pengiktirafan AS Terhadap Peningkatan Keselamatan Sabah

Jafry Sambut Baik Pengiktirafan AS Terhadap Peningkatan Keselamatan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyambut baik pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap tahap keselamatan Sabah yang semakin baik serta galakan kepada rakyatnya dan pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke negeri ini.

Beliau berkata, kenyataan Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David Gamble mengenai status perjalanan ke Sabah yang kini lebih longgar merupakan perkembangan positif dan tepat pada masanya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Pengiktirafan ini mencerminkan peningkatan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keselamatan dan kestabilan Sabah.

“Ia juga memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Sabah adalah destinasi yang selamat dan stabil serta bersedia menerima lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Februari lalu, AS meletakkan sebahagian besar kawasan di Sabah pada Tahap 1, iaitu pelancong hanya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga seperti biasa, manakala pulau dan kawasan maritim di pantai timur Sabah kekal pada Tahap 2.

Perkembangan itu menyusuli keputusan Jepun pada Jun lalu yang menurunkan nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir pantai timur Sabah dari Kudat hingga Tawau daripada Tahap 2 kepada Tahap 1, selain beberapa pulau di kawasan berkenaan daripada Tahap 3 kepada Tahap 2.

Jafry berkata, keputusan berkenaan mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi berkaitan dalam menjaga keselamatan negeri.

“Kita merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan atas komitmen berterusan melindungi rakyat, pelawat dan kawasan pelancongan di Sabah.

“Usaha keselamatan ini perlu diteruskan secara konsisten kerana keyakinan pelancong amat penting kepada pertumbuhan industri pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau berharap perkembangan positif itu akan mendorong lebih banyak negara menilai semula nasihat perjalanan masing-masing berdasarkan situasi keselamatan semasa dan maklumat yang tepat.

Menurutnya, pelonggaran nasihat perjalanan berpotensi meningkatkan ketibaan pelancong serta keyakinan syarikat penerbangan dan pelabur, selain memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha pelancongan dan komuniti tempatan.

“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, peningkatan keyakinan antarabangsa ini akan memperkukuh usaha kita menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan yang selamat dan bertanggungjawab di rantau ini.

“Sabah selamat, stabil dan bersedia,” katanya.