KOTA KINABALU: Isu kenaikan tambang penerbangan dan kos bahan api perlu ditangani segera bagi memastikan daya saing industri pelancongan Sabah tidak terjejas menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sabah, Mohd Azlan Saleh berkata, tambang penerbangan khususnya laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu (KUL-BKI) yang semakin tinggi boleh mempengaruhi keputusan pelancong domestik untuk memilih Sabah sebagai destinasi percutian.
Menurutnya, semakan indikatif tambang asas pergi-balik kelas ekonomi menunjukkan penerbangan KUL-BKI sekitar RM471, berbanding Kuala Lumpur-Jakarta sekitar RM487, iaitu perbezaan hanya kira-kira RM16.
“Tambang penerbangan sememangnya berubah mengikut tarikh, musim, kapasiti, bagasi dan waktu tempahan. Namun, perbandingan ini memberi gambaran bahawa jurang harga antara penerbangan domestik ke Sabah dengan penerbangan antarabangsa serantau semakin kecil.
“Apabila perbezaan tambang terlalu kecil, pengguna akan mula mempertimbangkan destinasi mana yang menawarkan nilai lebih baik untuk wang mereka,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Azlan berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian kerana Sabah bukan sahaja bersaing dengan destinasi domestik, malah berdepan persaingan langsung daripada Thailand, Vietnam dan Indonesia yang turut menawarkan produk pelancongan menarik.
Katanya, promosi besar-besaran sempena Tahun Melawat Sabah 2027 perlu disokong dengan akses penerbangan pada harga berpatutan bagi memastikan kempen itu mampu mencapai sasaran.
“Jangan sampai jutaan ringgit dibelanjakan untuk mempromosikan Tahun Melawat Sabah 2027, tetapi apabila tiba masa membuat tempahan, pengguna memilih destinasi lain kerana harga tiket terlalu tinggi.
“Promosi yang hebat perlu disokong dengan akses penerbangan yang mampu dibayar,” katanya.
Pada masa sama, Azlan berkata, peningkatan kos bahan api turut memberi tekanan kepada pengusaha pelancongan termasuk pengendali bas dan van persiaran, kereta sewa, bot serta resort.
Menurutnya, pengusaha tidak mampu menyerap peningkatan kos operasi secara berterusan dan keadaan itu akhirnya boleh menyebabkan harga pakej pelancongan meningkat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan bantuan atau subsidi bahan api secara bersasar kepada pengusaha pelancongan berlesen, khususnya pengendali bas, van dan bot pelancong.
“Sebarang bantuan perlu mempunyai syarat yang jelas, dilaksanakan secara telus dan dipantau bagi mengelakkan ketirisan.
“Manfaatnya juga mesti diterjemahkan kepada kestabilan harga pakej supaya pengguna turut menerima faedahnya,” katanya.
Azlan berkata, kepentingan sektor itu kepada ekonomi negeri tidak boleh dipandang ringan apabila industri pelancongan Sabah menjana RM13.7 bilion pada 2024, bersamaan 12 peratus daripada ekonomi negeri, selain menyokong kira-kira 387,600 pekerjaan.
Justeru, katanya, kerajaan perlu terus melibatkan pemain industri dalam merangka dasar dan menggunakan data sebenar mengenai kos operasi bagi mendapatkan penyelesaian yang praktikal serta berkesan.
“Persaingan hari ini bukan semata-mata mengenai siapa mempunyai destinasi paling cantik. Ia turut ditentukan oleh akses penerbangan, kapasiti, harga, kemudahan dan nilai keseluruhan yang diterima pelancong.
“Jika isu tambang penerbangan dan kos bahan api ditangani secara berhemah, telus dan berasaskan data, Tahun Melawat Sabah 2027 berpotensi menjadi pemangkin besar kepada ekonomi negeri.
“Jika dibiarkan, kita bukan sahaja berisiko kehilangan pelancong, tetapi juga pendapatan, pekerjaan dan peluang ekonomi kepada pesaing serantau,” katanya.






