LAHAD DATU: Lima lelaki termasuk tiga penjawat awam ditahan dalam satu serbuan Operasi Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sebuah rumah di Taman Harapan, Jalan Silam, pada 28 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, pemeriksaan ke atas lokasi telah menemui pelbagai bahan terlarang dan senjata berbahaya.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis syabu seberat 0.41 gram, 224 liter air ketum, dan 8.20 liter ubat batuk, selain sebilah pedang samurai dan enam bilah parang.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM11,655.40,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Meth/Amp, manakala empat lagi negatif.
Semua suspek yang berumur antara 24 hingga 38 tahun telah direman untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (kesalahan memiliki dadah), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (kesalahan penyalahgunaan dadah), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (kesalahan memiliki bahan terkawal), dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
ACP Dzulbaharin menegaskan bahawa operasi ini mencerminkan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
“Tiada kompromi terhadap jenayah berkaitan dadah. Kami akan terus mempertingkatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” tambah beliau.






