Sabah Catat Jualan RM3.5 Juta Di Matta Fair Kuala Lumpur

Sabah Catat Jualan RM3.5 Juta Di Matta Fair Kuala Lumpur

0
SHARE
Joniston
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai (tiga dari kanan) mengalu-alukan pengunjung ke gerai Sabag di Pameran Matta yang diadakan di MITEC, Kuala Lumpur baru-baru ini ( Sumber Foto: Ihsan STB )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah menjana RM3.5 juta dalam jualan semasa Pameran Matta yang berakhir baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata pakej bertemakan Sabah CAN (Culture, Adventure, Nature) sangat diminati pengunjung.

“Lebih 200 pakej CAN telah dijual, dengan aktiviti pulau dan Perkampungan Budaya Mari Mari menjadi pilihan paling popular.

“Kami berharap hasil positif ini diterjemahkan kepada lebih ramai ketibaan pelancong, seterusnya meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah menyatakan minat yang semakin meningkat dalam destinasi luar bandar dan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti.

Bagi mempromosikan lagi tawaran ini, Joniston berkata Sabah akan mengadakan Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti yang pertama di IOI Mall, Putrajaya, bermula dari 16 sehingga 20 Oktober tahun ini.

“Pameran ini akan membolehkan pengunjung meneroka pakej pelancongan unik berasaskan komuniti dengan lebih lanjut dan menemui permata tersembunyi di kawasan luar bandar Sabah,” katanya.