Wani Kayrie Lancar EP Sulung ‘W2K’ dan Single ‘Biarkan’

Wani Kayrie Lancar EP Sulung ‘W2K’ dan Single ‘Biarkan’

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi muda berbakat besar, Wani Kayrie, hari ini merasmikan pelancaran EP sulungnya berjudul W2K dan single terbaharu Biarkan dalam satu sidang media eksklusif “Wani Kayrie Listening Party” di MyTOWNKL baru-baru ini.

Majlis anjuran Rocketfuel Entertainment itu turut dijalankan bersempena ASR Festival oleh Ascott, menampilkan Wani dalam versi lebih matang, bersuara lantang serta sarat ekspresi jiwa sebagai figura seni suara generasi baharu.

Menurut Wani, W2K adalah hadiah istimewa buat semua peminat yang setia menyokong sejak awal kariernya dan beliau meluahkan rasa terharu akhirnya dapat menghasilkan album mini yang dinanti-nanti ramai pihak.

“Tajuk W2K diilhamkan daripada tahun kelahiran Wani, 2,000, yang turut melambangkan kematangan, kepelbagaian muzik dan semangat anak muda Y2K yang relevan dengan trend semasa.

“EP W2K mengandungi lima lagu: Cak Cak Cekuk, Serius Ah, Aiman Tino, Matahari dan Biarkan, hasil kolaborasi dengan barisan komposer terkenal termasuk Iqie Hugh, MFMF, Ezra Kong dan ramai lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Wani menyatakan lagu kegemarannya ialah Cak Cak Cekuk kerana elemen semangat, budaya dan positiviti yang ditampilkan, menjadikannya lagu penyuntik keyakinan diri.

Single balada Biarkan pula membawa mesej melepaskan sesuatu yang tidak lagi baik, meskipun sukar.

Proses rakaman yang mencabar turut memperlihatkan kematangan Wani dalam menyampaikan emosi.

Bagi Wani, EP ini menandakan fasa baharu dalam kerjayanya yang bermula hampir sedekad lalu dengan lagu Jangan Jangan. Ia disifatkan sebagai bukti transisi dan evolusi dirinya sebagai penyanyi profesional.

Wani berharap karya W2K dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian, sambil membina ruang dan identiti sendiri dalam dunia seni atau kehidupan peribadi.

EP W2K dan single Biarkan kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula sejak 25 Julai lalu.