30 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Kampung Atas Air di Tawau

30 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Kampung Atas Air di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Sebanyak 30 buah rumah perkampungan atas air di Kampung Sri Aman, Lorong Jade 4, Jalan Apas, musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku lewat malam Sabtu lalu.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.23 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi pada jam 11.32 malam, kira-kira 7 kilometer dari balai.

Kebakaran melibatkan rumah-rumah jenis tidak kekal yang diperbuat daripada papan dan kayu, dengan anggaran keluasan keseluruhan terbakar seluas 262 x 229 kaki persegi. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak berkata, operasi pemadaman dijalankan secara berperingkat melibatkan pemadaman pertama, kedua dan ketiga, menggunakan sumber air daripada pili bomba serta sumber air terbuka iaitu air laut.

“Operasi melibatkan beberapa aliran pancutan termasuk penggunaan jentera FRT, pam angkut dan water tanker bagi memastikan api dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Kunak, Bomba Komuniti Kampung Titingan, serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Jabatan Air.

Seramai 24 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut, dibantu oleh keseluruhan kekuatan agensi sokongan di lokasi kejadian.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.44 tengah malam, sekali gus menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran dan menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah di sekitarnya.

Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain wujud, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.10 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.