KOTA KINABALU: Institusi keluarga perlu terus diperkukuhkan kerana ia merupakan asas penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya negara.
Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Datuk Juliah Salag berkata, institusi keluarga memainkan peranan utama dalam membentuk individu yang beretika serta bertanggungjawab.
Menurut beliau, dalam era teknologi yang berkembang pesat, peningkatan kos sara hidup dan perubahan norma sosial yang pantas, keluarga memerlukan kebijaksanaan, ilmu serta tahap kesedaran yang tinggi bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Kita semua sedia maklum bahawa keluarga adalah sekolah pertama seorang insan. Di rumah, tempat paling asas dan paling dekat dengan hati, terbentuknya akhlak, nilai serta karakter seseorang.
“Justeru, meluangkan masa bersama keluarga adalah antara usaha penting dalam membina dan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Inspirasi Keluarga Madani yang berlangsung di sini, Sabtu lalu.
Katanya lagi, dengan meluangkan masa bersama, ahli keluarga dapat berbincang mengenai cabaran dan kejayaan, berkongsi minat serta aktiviti, sekali gus mengeratkan ikatan yang penting untuk kesejahteraan emosi dan psikologi.
Seminar tersebut dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH).
Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berharap semua peserta dapat memanfaatkan seminar berkenaan dan membawa pulang ilmu baharu bagi mewujudkan suasana keluarga yang lebih tenang, bahagia serta menyokong kesejahteraan mental setiap ahli keluarga.
“Kesejahteraan keluarga tidak boleh dipikul oleh ibu bapa sahaja. Ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, sektor swasta, persatuan wanita dan institusi pendidikan.
“Semoga seminar ini memberi manfaat besar dan menjadi titik tolak kepada pembinaan keluarga Madani yang lebih sejahtera,” katanya.






