KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Datuk Albert Tei disifatkan sebagai dalang sebenar di sebalik skandal perlombongan di negeri ini, dan bukannya kerajaan Sabah seperti yang disebutkan sebelum ini.
FMT melaporkan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mendakwa cara Albert Tei memohon lesen penerokaan (prospecting licence) menimbulkan banyak persoalan, termasuk sama ada beliau telah mengambil “jalan pintas” untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, antaranya melalui pemalsuan dokumen.
Menurut Nizam, Albert Tei didakwa telah memohon lesen perlombongan yang melibatkan hampir satu juta ekar tanah keseluruhannya, menggunakan 20 buah syarikat berbeza.
Nizam menyifatkan “usaha” Albert Tei itu sebagai percubaan rahsia untuk menguasai sumber semula jadi Sabah.
“Jika seseorang individu menggunakan 20 syarikat untuk memohon lebih 20 lesen penerokaan perlombongan, sudah tentu orang ramai akan tertanya-tanya,” katanya.
Nizam, yang juga penyandang kerusi DUN N68 Apas, berkata audit dalaman mendedahkan bahawa Albert Tei dikaitkan dengan pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kuasa dalam Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), sebuah agensi kerajaan negeri.
Beliau berkata hasil siasatan itu mendorong SMM menamatkan perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutifnya ketika itu, Jontih Enggihon, kerana disyaki membantu Albert Tei dalam permohonan lesen tersebut.
“Inilah yang sebenarnya berlaku. Skandal itu berpunca daripada tindakan Tei, bukan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Dalam satu podcast baru-baru ini, Albert Tei mendakwa bahawa kontroversi perlombongan itu sebenarnya satu penipuan yang didalangi oleh ahli politik Sabah.
Beliau turut menuduh bahawa lesen penerokaan diberikan berdasarkan hubungan politik, bukan atas merit.
Nizam menambah bahawa berdasarkan video yang dibocorkan oleh Albert Tei yang kononnya mengaitkan beberapa wakil rakyat, ternyata tiada penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atau kerajaan negeri.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan naratif yang dibawa oleh Albert Tei, yang menurutnya sedang berusaha menutup kesalahannya sendiri.
Albert Tei sebelum ini cuba menampilkan dirinya sebagai pembocor maklumat (whistleblower) dalam isu tersebut.
Namun, Nizam menegaskan bahawa Albert Tei bukanlah pembocor maklumat seperti yang didakwanya, sebaliknya dalang utama dalam skandal itu.
Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menolak permohonan Albert Tei untuk diiktiraf sebagai pembocor maklumat kerana beliau sendiri terlibat dalam beberapa salah laku.
Dalam mengkritik Albert Tei, Nizam berkata ahli perniagaan itu cuba memutarbelitkan naratif untuk menggambarkan bahawa kerajaan sedang menindasnya.
“Sebenarnya, dia ialah pesalah utama yang menyalahgunakan sistem lesen perlombongan,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, Albert Tei mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua wakil rakyat berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau didakwa memberi RM150,000 dan RM200,000 masing-masing kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Andi Suryady Bandy, serta ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.
Kedua-dua ADUN berkenaan turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah tersebut.
Menjelang perbicaraan kes itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa kerajaan negeri telah memberikan kerjasama penuh tanpa sebarang campur tangan dalam siasatan, yang akhirnya membersihkan Hajiji daripada sebarang salah laku.






