Albert Tei Didakwa Rancang Aksi di KKIA, Dikaitkan Dengan Sebutan Kes Mahkamah...

Albert Tei Didakwa Rancang Aksi di KKIA, Dikaitkan Dengan Sebutan Kes Mahkamah Esok?

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang sumber yang rapat dengan Datuk Albert Tei mendakwa ahli perniagaan itu telah merancang satu “aksi” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang tadi, dipercayai berkaitan dengan kes rasuahnya yang dijadualkan disebut di Mahkamah Kota Kinabalu esok.

Menurut sumber berkenaan, Albert dikatakan sudah memaklumkan kepada kenalan rapatnya tentang niat untuk mencetuskan situasi di kaunter imigresen, bagi menimbulkan tanggapan bahawa beliau dihalang memasuki Sabah oleh pihak berkuasa.

Sumber itu mendakwa, tindakan tersebut dirancang bagi menimbulkan simpati dan mungkin digunakan sebagai alasan di mahkamah bahawa beliau tidak dapat hadir atas sebab di luar kawalannya.

Difahamkan, ketika tiba di KKIA, Albert memberitahu pegawai imigresen bahawa kehadirannya ke Sabah adalah untuk bercuti, bukan untuk urusan mahkamah.

Beliau juga dilaporkan tidak mengemukakan surat panggilan mahkamah semasa pemeriksaan dijalankan, menyebabkan pihak imigresen menolak kemasukannya kerana notis larangan masuk (NTL) masih berkuat kuasa.

Sumber yang sama turut mendakwa bahawa pada September lalu, Albert pernah dibenarkan masuk ke Sabah selepas menunjukkan dokumen rasmi berkaitan kesnya — menunjukkan beliau mengetahui prosedur sebenar, namun dipercayai memilih untuk bertindak berbeza kali ini.

Setakat ini, Jabatan Imigresen Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak peguam Albert juga masih belum berhasil, dijangka sidang media esok.

Kes rasuah melibatkan Datuk Albert Tei dijadualkan disebut semula di Mahkamah Kota Kinabalu pada Khamis.

Datuk Albert Tei, seorang ahli perniagaan, sedang berdepan pertuduhan memberi rasuah berjumlah keseluruhan RM350,000 kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah — masing-masing RM150,000 kepada Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (ADUN Tanjung Batu) dan RM200,000 kepada Datuk Yusof @ Josree Yacob (ADUN Sindumin).

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu pengurusan permohonan lesen cari gali mineral di Sabah pada tahun 2023.

Albert dituduh mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.