Polis Tembak Mati Lima Penjenayah, Ketika Cuba Melarikan Diri Dari Pemeriksaan

Polis Tembak Mati Lima Penjenayah, Ketika Cuba Melarikan Diri Dari Pemeriksaan

0
SHARE
Lima penjenayah ditembak mati oleh polis.

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menembak mati lima penjenayah warga tempatan semalam yang disyaki aktif dalam lebih 50 kejadian samun bersenjata api di sekita Lembah Klang sejak dua tahun lalu

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, kelima-lima suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun menaiki sebuah kereta Perodua Axia, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di Putra Heights. 

Ketika diarah berhenti oleh pihak polis bagi tujuan pemeriksaan, suspek kemudian memecut kereta dinaiki mereka selain melepaskan beberapa das tembakan ke arah pihak polis.

Pasukan polis yang terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur kemudian cuba mengepung kereta Axia dinaiki suspek sebelum merempuh kenderaan pasukan polis.

Pada masa sama, suspek terus melepaskan tembakan namun demi mempertahankan diri, pihak polis kemudian turut melepaskan tembakan balas ke arah semua suspek.

Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek mati di tempat kejadian dan polis turut menemui dan merampas dua senjata api yang digunakan suspek bersama beberapa senjata lain.

Menurut sumber, semua suspek memiliki rekod dikehendaki pihak polis atas kejadian samun bersenjata api dan rekod jenayah lampau.

“Suspek berkenaan dilaporkan aktif menyamun wang tunai dari van milik sebuah syarikat penghantaran, kilang-kilang dan rumah-rumah individu yang menyimpan wang tunai dan barang kemas di sekitar Shah Alam, Puchong, Klang, Subang Jaya, Kajang dan Sentul. 

“Malah, suspek turut didapati mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, polis juga percaya semasa ditahan, semua suspek mempunyai perancangan untuk melakukan jenayah samun bersenjata api.