Kefahaman Komuniti Penting Elak Kekeliruan

Kefahaman Komuniti Penting Elak Kekeliruan

0
SHARE
Bomba
Demonstrasi pemadaman api oleh Bomba berjaya mencuri minat para peserta program ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Kesedaran dan kefahaman komuniti setempat mengenai isu semasa penting untuk mengelakkan kekeliruan fakta.

Menurut Pengerusi Nurul Iman Kampung Kawang Jurin Othman berkata maklumat lanjut yang diperolehi menerusi komunikasi bersemuka memberi impak yang lebih besar sekali gus mengukuhkan ukhuwah masyarakat.

“Di Papar, isu yang paling besar ialah bekalan air paip dan pembakaran terbuka yang boleh dikatakan setiap hari berlaku.

“Jadi, penjelasan lanjut mengenai isu ini memang amat penting supaya masyarakat tidak keliru dengan fakta yang diselewengkan dan berlegar-legar dalam media sosial,” katanya ketika ketika ditemui media dalam Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA Madani) di sini, pada Jumaat.

Jurin turut menyarankan agar lebih banyak penganjuran program seumpama diadakan di surau dan masjid selaras dengan usaha mengimarahkan bulan Ramadan.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Papar Mohd Najib Juhanis selaku penganjur berkata program tersebut selain menyampaikan maklumat kerajaan, ia juga dapat mengerat serta memperkukuh lagi jaringan komunikasi Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Sabah serta agensi-agensi terlibat dengan komuniti setempat.

Program yang dimulai dengan perkongsian dalam Sesi Taklimat Isu Semasa oleh Najib, disusuli dengan ceramah serta demonstrasi pemadaman api oleh Pegawai Bomba, Hamdani Harith dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Papar.

Acara turut diselitkan dengan tazkirah oleh Jurin sebelum majlis iftar diikuti dengan solat fardhu Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih serta Witir bersama kira-kira 100 jemaah. — JABATAN PENERANGAN SABAH