KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan telah memberkas kesemua pelakon yang terdiri daripada LIMA (5) lelaki dan TIGA (3) wanita yang terlibat dalam iklan raya mempromosikan judi secara dalam talian sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai terutamanya umat Islam, semalam.
Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun ditahan semalam dan akan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pelakon-pelakon dalam video tular berkenaan ditahan di sekitar ibu negara.
“Kesemua pelakon dalam video promosi judi secara dalam talian itu sudah ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi…
“Mereka kini ditahan di lokap Dang Wangi dan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pengamal media.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata bahawa pihaknya telah menahan lima individu yang disyaki berlakon dalam iklan judi sempena Hari Raya ini selepas video promosi perjudian ini tular dalam aplikasi media sosial.
“Sebanyak 38 laporan polis berkaitan video ini dibuat sebelum polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 26 tahun yang berlakon dalam iklan berkenaan…
“Kesemua mereka mengaku menerima bayaran untuk berlakon dalam iklan berdurasi 2 minit satu saat itu sebanyak RM180 seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Acryl Sani berkata, hasil siasatan susulan, polis kemudian menahan tiga lagi individu awal pagi tadi, yang juga adalah ejen artis, jurukamera dan pengarah video berkenaan di sekitar Ampang.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati penggambaran video ini dibuat di Ampang dan Hulu Langat, pada 13 Mac lalu.”
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, seksyen 233 Kata Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Tambah beliau, pada masa ini usaha mengesan dalang utama di sebalik pembikinan video ini masih diteruskan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit di aan apa jua aktiviti perjudian di negara ini.
Terdahulu, satu iklan Hari Raya berdurasi 2 minit 1 saat tular di laman sosial hingga mengundang kecaman dan kemarahan netizen beragama Islam apabila mengeluarkan video mempromosikan aktiviti perjudian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
