Zee Avi Muncul Semula Selepas 13 Tahun, Kembali Dengan Single Baharu ‘Oyasumi...

Zee Avi Muncul Semula Selepas 13 Tahun, Kembali Dengan Single Baharu ‘Oyasumi Na Sayang’

0
SHARE
Zee avi
Zee Avi And The Good Things.

KUALA LUMPUR – Pemuzik terkenal, Zee Avi yang telah lama menyepi dalam industri muzik kini kembali dengan album baharu Oyasumi Na Sayang.

Lebih istimewa, anak seni berusia 38 tahun kelahiran Sarawak ini turut mengumumkan ‘gerakan’ barunya akan disertai bersama band yang diberi nama Zee Avi And The Good Things.

“Hampir 13 tahun sejak album terakhir saya, Ghostbird dipasarkan, saya kini mempersiapkan album ketiga ya.

“Ya, album penuh dengan sekitar 10 hingga 11 buah lagu. Dan berbeza lagi, saya kini bergerak secara indipendent. Jadi saya lebih bebas berkarya dan bebas untuk sempurnakan album ini.

“Malah muzik album kali ini lebih mencerminkan kematangan berkarya saya dan dengan sentuhan band saya, Zee Avi And The Good Things.

“Zee Avi And The Good Things terdiri daripada saya, Raja Farouk (bass), Jude Macson (gitar), Yuswa Ansari (bass) dan AKZ (pengarah muzik serta drum/perkusi).

“Tentu sahaja production dan sound di album ini lebih fresh tapi personal dan yang paling best, semua pemuzik dari Malaysia,” katanya.

Dan pada saat album ketiga ini hampir disempurnakan, Zee Avi terlebih dahulu menyapa peminat dengan single baru yang cukup versatil dan unik.

Diberi judul Oyasumi Na Sayang ia merupakan single kolaborasi bersama band dari Fukuoka, Jepun, MuchaMuchaM yang dihasilkan dengan campuran bahasa Melayu dan Jepun.

“Oyasumi Na Sayang adalah kolaborasi saya bersama band MuchaMuchaM Jepun dan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Jepun.

“Pembikinan lagu ini juga sangat unik kerana semuanya dilakukan secara maya. Mereka berada di Jepun manakala saya pula di Malaysia.

“Proses kreatifnya bermula dengan karya atau komposisi lagu tanpa melodi dan lirik dari mereka. Kemudian saya menyumbangkan melodi dan lirik dalam bahasa Melayu. Dan mereka terima, Alhamdulillah,” ujar Zee.