Istana Pasir Tertinggi Di Dunia Dibina Di Denmark

Istana Pasir Tertinggi Di Dunia Dibina Di Denmark

0
SHARE

COPENHAGEN, DENMARK – Istana pasir tertinggi di dunia dengan ketinggian lebih 20 meter dan seberat hampir 5,000 tan siap dibina di sebuah bandar tepi pantai di Blokhus, Denmark.

Memetik laporan AFP, istana pasir yang berukuran 21.16 meter tinggi itu mengatasi istana pasir yang dibina di Jerman pada 2019 yang memegang rekod Guinness World Records pada ketinggian 17.66 meter.

Sebanyak 4,860 tan pasir digunakan bagi membina struktur berupa piramid.

Perekanya, Wilfred Stijger yang dibantu 30 pengukir pasir terbaik dunia, menampilkan kuasa coronavirus ke atas dunia sejak awal pandemik bermula.

Di puncak binaan istana pasir itu dipaparkan model virus memakai mahkota.

“Ia mengatur kehidupan kita di mana-mana,” kata Stijger.

“Ia memberitahu anda apa yang harus dilakukan …. ia memberitahu anda untuk menjauhkan diri dari keluarga dan tidak pergi ke mana-mana. Jangan melakukan aktiviti, tinggal di rumah,” katanya,

Bagi mengukuhkan struktur istana, lapisan pasir mengandungi kira-kira 10 peratus tanah liat dan gam disapu di permukaan istana berkenaan.

Ciri-ciri tempatan termasuk luncur angin, rumah pantai, ikan dan rumah api ditampilkan dalam pembinaan berkenaan.

Istana pasir itu dijangka berdiri kukuh sehingga Februari atau Mac tahun depan.