MUIS, UMS Kerjasama Atasi Kekurangan Guru Pendidikan Islam

MUIS, UMS Kerjasama Atasi Kekurangan Guru Pendidikan Islam

0
SHARE
Arifin
Ariffin (tengah) menyaksikan simbolik pertukaran dokumen antara Yahya (tiga kiri) dan Kassim (tiga kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bagi mengatasi masalah kekurangan guru Pendidikan Islam di negeri ini, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, dasar 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus guru luar mengajar di Sabah (90:10) yang ditetapkan sebelum ini juga masih belum mencapai sasaran.

“Antaranya, melibatkan subjek agama Islam dan sudah pasti dengan kerjasama ini akan dapat melahirkan graduan atau mereka yang mempunyai ikhtisas dalam bidang pendidikan.

“Sebelum ini, kita ada kekurangan lebih 400 guru untuk sekolah Jabatan Pendidikan yang memerlukan guru terlatih.

“Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS melibatkan pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda setiap tahun yang dipilih dan ditentukan oleh MUIS mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan UMS,” katanya kepada media dalam Majlis Iftar MUIS dan Majlis Menandatangani MoA Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di antara MUIS dan UMS, pada Selasa.

Menerusi MoA tersebut, pihak-pihak terlibat bersetuju memperuntukkan seramai 20 orang pelajar dalam Program DPLI UMS diberikan kepada guru sambilan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang merupakan Guru Zakat di bawah lantikan JHEAINS dan tajaan MUIS yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda.

Manakala, 20 orang pelajar yang lain adalah terbuka kepada calon pelajar lepasan ijazah sarjana muda yang layak menyertai program tersebut mengikut kesesuaian yang dikehendaki.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama turut memaklumkan, sebagai permulaan seramai 40 pelajar terpilih mengikuti pengajian DPLI itu yang akan diadakan selama setahun setengah.

“Setiap tahun, jumlahnya adalah 40 orang dan 20 daripadanya adalah guru-guru asnaf kita yang belum ada Diploma Pendidikan, maka mereka diberikan pengajian di UMS.

“Calon-calon bagi mengikuti pengajian ini juga telah dikenal pasti iaitu melibatkan guru zakat, guru MUIS dan guru daripada JHEAINS,” ujarnya.

Turut hadir, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kassim Mansur, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof , Pengarah JHEAINS, Jumain Abdul Ghani dan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH