Kad Digital Mualaf Diperkenal Dalam Masa Terdekat

Kad Digital Mualaf Diperkenal Dalam Masa Terdekat

0
SHARE
Arifin
Arifin (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang murid ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Selepas Sijil Nikah Digital, Sabah akan memperkenalkan Kad Digital Mualaf dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata inovasi kad tersebut merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) untuk memudahkan urusan golongan yang memeluk Islam agar dapat kad pengislaman dengan cepat dan selamat di samping identiti mualaf di negeri ini dapat direkodkan dalam pengkalan data jabatan terbabit.

“Berbanding sebelum ini pendaftaran adalah secara manual dan terpaksa menunggu tempoh tertentu untuk dapatkan kad pengislaman.

“Juga antara kelebihan kad pengislaman digital ini adalah soal keselamatan dan memudahkan pihak jabatan menyemak status para mualaf secara pantas.

“Sebagai contoh, sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan kematian dan mudah-mudahan kad ini akan memberi manfaat besar kepada golongan mualaf di Sabah,” ujar beliau dalam Program Semarak Ramadan bersama Muallaf DUN Membakut Kali Ke-15 di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping dekat sini.

Semasa menyampaikan amanatnya, Mohd Arifin menekankan keharmonian dan menggesa golongan mualaf agar terus mengekalkan silaturahim dengan keluarga meski berbeza agama.

“Saya menekankan tadi memilih Islam tidak memilih untuk berpisah dengan keluarga yang bukan Islam,” tegas beliau.

Majlis kali ke-15 itu bertujuan untuk memberi pendedahan tentang ilmu serta hukum hakam melalui dua ceramah, menyampaikankan Bingkisan Syawal kepada 590 mualaf dari seluruh kawasan DUN Membakut serta merapatkan silaturahim dengan golongan terbabit.

Antara yang hadir ialah Pengarah JHEAINS Jumain Abdul Ghani dan Timbalan Yang di-Pertua MUIS Datul Malai Ali Malai Ahmad.

Terdahulu, Mohd Arifin menyampaikan zakat kepada 150 murid di Sekolah Kebangsaan Pekan Bongawan dan berharap sumbanagn tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para murid.

Ketua Pelajar, Nurrahdatul Arissa Mohd Rasdi, Tahun 6 Kenari yang ditemui memaklumkan wang RM200 yang diterimanya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama untuk membeli buku serta peralatan sekolah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Wang ini memang untuk membeli buku-buku dan keperluan sekolah selepas Hari Raya nanti,” katanya.

Berbeza dengan Pelajar Tahun 2 Kembara, Zulkhairil Izam, 8, anak bongsu yang sempat berseloroh, namun akhirnya menyatakan wang zakat itu akan digunakan untuk membeli buku.

“Untuk buka puasa petang ni sama mama, bapa, kakak, abang….tidak bah, untuk beli buku,” katanya sambil ketawa sambil ditemani ibunya, Eliza Nur Syafika Abdullah dari Kampung Silat, Bongawan. — JABATAN PENERANGAN SABAH