KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar, Barisan Nasional (BN) hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sebelum sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri bermula.
Mohd Kurniawan Naim mengangkat sumpah selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Sabtu lalu dengan majoriti besar 14,214 undi dalam persaingan tiga penjuru.
Pada PRK berkenaan, beliau menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman, yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, meraih 946 undi.
PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga bapa kepada Mohd Kurniawan Naim, pada 5 Disember tahun lalu.






