KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri tetap komited untuk merealisasikan pengwujudan Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun di Ranau setelah tergendala dari 2018.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, setakat 30 Disember 2020, kemajuan kerja sebenar projek tersebut hanyalah mencapai 20 peratus (20%) dan oleh itu dikategorikan sebagai ‘projek sakit’.
Beliau membalas soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin, tentang status dan jangkaan siap pembinaan Muzium tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Kata Jafry, tempoh kontrak pembinaan muzium mini atau Muzium Tamadun dan Warisan Etnik Dusun, Ranau adalah 18 bulan.
“Projek ini telah bermula pada 1 Mac 2018 dan dijadualkan siap pada 1 September 2019. Bagaimanapun, kontraktor hanya mendapat kelulusan masuk tapak pada 28 April 2019. Ini menyebabkan projek tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan…
“Dalam pada itu, Kerajaan telah meluluskan tempoh lanjutan masa Nombor 1 (EOT 1) mulai 1 September 2019 sehingga 30 Disember 2020.
“Sepanjang tempoh lanjutan masa yang diberikan, kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan kepada pihak kontraktor. Teguran dan amaran telah diberikan namun pelbagai alasan diberikan,” katanya.
Beliau berkata berikutan prestasi yang mendukacitakanitu, satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemandu Projek Negeri yang dihadiri oleh Pejabat Peguam Besar Negeri, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah telah diadakan bagi membincangkan dan memutuskan status projek.
Dengan itu, satu ketetapan telah diputuskan selaras dengan Perjanjian Kontrak Klausa 5.1 (b) yang memberi kuasa kepada pihak Kementerian untuk mengeluarkan notis penamatan.
“Pada 16 Jun 2021, Kementerian telah mengeluarkan surat penamatan kontrak kepada kontraktor atas sebab kegagalan melaksanakan projek mengikut tempoh yang ditetapkan…
“Pada ketika ini, Kementerian saya sedang dalam proses penilaian semula Pelan Pembangunan termasuk penilaian kos pembinaan untuk membolehkan Kementerian mendapatkan Kontraktor penyelamat.
“Untuk memastikan projek pembinaan Muzium ini tidak tergendala lagi, Kementerian saya akan memastikan kontraktor penyelamat yang bakal dilantik untuk menyiapkan projek ini mempunyai kredibiliti, berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh,” tambahnya.
Katanya, pemantauan projek itu kerap dijalankan oleh Kementerian beliau dan juga agensi dibawah iaitu Jabatan Muzium Negeri Sabah.