Sebanyak 97% Penjawat Awam Negeri Di Sabah Telah Lengkap Divaksin

Sebanyak 97% Penjawat Awam Negeri Di Sabah Telah Lengkap Divaksin

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 19,584 daripada 20,271 atau 97 peratus (97%) penjawat awam negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri telah lengkap divaksin setakat 23 November tahun ini.

Dalam pada itu, bilangan penjawat awam negeri yang belum mengambil vaksin atas faktor isu kesihatan dan lain-lain adalah sebanyak 687 orang atau bersamaan dengan 3 peratus (3%).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, berkata demikian membalas kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Ewon bertanyakan jumlah penjawat awam negeri yang belum menerima vaksin COVID-19 setakat ini dan dasar kerajaan negeri terhadap penjawat awam negeri yang tidak mahu menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Kerajaan Negeri telah menetapkan agar semua penjawat awam Perkhidmatan Awam Negeri melengkapkan imunisasi COVID-19 untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan memastikan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti Perkhidmatan Awam Negeri berada pada tahap yang optimum…

“Sehubungan itu, Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil. 11 Tahun 2021 bertajuk Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri berkuatkuasa 14 Oktober 2021 telah dikeluarkan,” kata Abidin.

Beliau berkata selepas 1 November 2021, semua pegawai Kerajaan Negeri perlu melengkapkan dos imunisasi COVID-19 dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19.

“Mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan ini boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008…

“Pegawai yang tidak layak untuk menerima suntikan imunisasi COVID-19 hendaklah mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan dan memaklumkan Ketua Jabatan,” jelasnya.

Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini, Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan kaedah-kaedah yang bersesuaian untuk mengurus mana-mana pegawai yang tidak mendapat dan melengkapkan imunisasi COVID-19 bukan atas sebab kesihatan.

Menurut Abidin, kaedah-kaedah ini termasuk mengarahkan pegawai untuk membuat ujian pengesanan COVID-19 berkala, sesi kaunseling bekerja dari rumah untuk satu tempoh, menggunakan cuti kelayakan yang ada dan kemudian cuti tanpa gaji yang dilayaki dan akhirnya tindakan penamatan perkhidmatan.