KOTA KINABALU, SABAH – Seorang lelaki berusia 35 tahun dilaporkan stabil selepas jatuh dari tingkat atas bangunan KK Plaza di sini pada kira-kira 11.46 pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri selepas jatuh mengenai sebuah kenderaan di kawasan tempat letak kereta itu segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I oleh pasukan ambulans.
“Pemeriksaan awal pihak perubatan mendapati mangsa mengalami patah pada kedua-dua tangan, kecederaan di seluruh badan serta keretakan pada bahagian kepala.
“Keadaannya kini stabil dan masih menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tindakan mangsa dipercayai berpunca daripada tekanan masalah peribadi dan akan dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk rawatan lanjut berkaitan kesihatan mental.
“Unit Forensik JSJ IPK Sabah turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Semakan mendapati kawasan tempat letak kereta di tingkat atas bangunan tersebut boleh diakses dengan mudah oleh orang awam melalui lif dan tangga, namun tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kawasan berkenaan,” katanya.
Kasim turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menyeru masyarakat lebih peka terhadap isu kesihatan mental dan segera mendapatkan bantuan sekiranya menghadapi tekanan emosi.






