KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) mengecam kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjanji mengembalikan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah jika dipilih.
Ketua Penerangan LDP, Nicholas Ban menyifatkannya sebagai helah pilihan raya dan penipuan berulang terhadap rakyat negeri ini.
“Muhyiddin gagal menunaikan komitmen fiskal kepada Sabah semasa menjadi Perdana Menteri, dan hanya menjelang pilihan raya beliau ‘teringat’ hak tersebut.
“Rakyat Sabah sudah lama muak dengan janji kosong yang diulang setiap kali pilihan raya.
“Jika PN benar-benar ikhlas, mengapa tiada keputusan Kabinet dibuat ketika mereka berkuasa?” katanya.
Menurut Nicholas, hak 40 peratus hasil cukai termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak wajar dijadikan janji politik.
Beliau menggesa kerajaan Persekutuan segera menunaikan kewajipan itu secara institusi, bukan menunggu musim pilihan raya.
“Apa yang Sabah perlukan ialah jaminan undang-undang, bukan gula-gula politik,” tegasnya.






