MCA Sabah Sokong Kerajaan Pimpinan Hajiji, Sedia Main Peranan Ke Arah Pembangunan...

MCA Sabah Sokong Kerajaan Pimpinan Hajiji, Sedia Main Peranan Ke Arah Pembangunan Negeri

0
SHARE
MCA
Logo MCA ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU, SABAH – MCA Sabah mengulangi pendirian sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, MCA Sabah menjelaskan pendirian terbabit yang diputuskan pihaknya dalam satu mesyuarat pada 11 Januari lepas dan telah disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA semalam (11 Februari).

“Kerajaan negeri Sabah yang dibentuk oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah pun berjanji untuk menyokong Kerajaan Perpaduan di peringat persekutuan. MCA Sabah juga berpendirian sama dengan MCA Pusat yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“MCA Sabah akan memainkan peranan dengan baik sebagai jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan perancangan demi kebaikan rakyat.

“Kami juga akan bersuara untuk rakyat bagi memastikan prinsip kepelbagaian, kesederhanaan dan kesaksamaan terpelihara dalam menjaga kebajikan keseluruhan rakyat Sabah, selain berusaha untuk pembangunan ekonomi negeri supaya rakyat Sabah mendapat manfaat daripadanya,” jelas dalam kenyataan terbabit.

Dalam pada itu, MCA Sabah turut menjelaskan pihaknya tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji

“Selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Jawatankuasa Pusat Parti telah memberikan MCA Sabah autonomi yang lebih besar.

“MCA Sabah juga akan memahami dan menggunakan kuasa autonomi ini untuk memainkan peranan sendiri dalam politik tempatan Sabah secara aktif bagi menjaga kepentingan dan hak rakyat Sabah.

“MCA Sabah juga menyeru semua rakyat Sabah agar mengetepikan perbezaan dan terus kekal bersatu di bawah pimpinan Ketua Menteri untuk menggalakkan pembinaan dan pembangunan negeri supaya Sabah boleh bergerak ke arah kemakmuran dan kemajuan,” jelasnya.