Sabah Terima 2.89 Juta Bekalan Dos Vaksin COVID-19 Bulan Ini – KJ

Sabah Terima 2.89 Juta Bekalan Dos Vaksin COVID-19 Bulan Ini – KJ

0
SHARE
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin...

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah akan menerima bekalan sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 dalam bulan September ini dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Menara Kinabalu, Bangunan Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan penghantaran bekalan vaksin itu, kerajaan yakin Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 dos hingga 70,000 dos sehari seterusnya mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini.

“Kita masih lagi berpegang kepada sasaran 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir September ini dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir Oktober seperti sasaran nilai ambang ditetapkan…

“Bagi mencapai sasaran tersebut kita akan perbanyakan program ‘mobile outreach’. Kerajaan negeri (Sabah) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan merancang lebih 130 program outreach dalam bulan September dan Oktober ini,” katanya.

Terdahulu beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini (6 Sept).